ALOR SETAR – Cuma dengan bayaran sebanyak RM5,000 hingga RM7,000 seorang, warga asing dari Myanmar boleh diseludup ke negara ini melalui laluan darat dan laut di Kedah untuk mencari pekerjaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, polis berjaya menumpaskan lima sindiket pemerdagangan manusia menerusi penahanan 47 migran dan 12 ahli sindiket dalam operasi di Kubang Pasu dan Langkawi sejak bulan lalu
Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati warga Myanmar yang lama menetap di negara ini menjadi dalang sindiket di Langkawi.
“Kegiatan penyeludupan ini sangat membimbangkan ekoran sektor pekerjaan yang semakin rancak dan Kedah dilihat menjadi pintu masuk migran melalui sempadan Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menyeludup migran melalui jalan laut dan darat.
“Melalui jalan laut, pihak sindiket menggunakan Langkawi sebagai tempat transit apabila migran berkenaan masuk ke perairan negara melalui bot dan mendarat di sekitar pesisir pantai pulau itu di Tanjung Rhu dan Ayer Itam.
“Mereka kemudian akan dibawa ke rumah transit sebelum diseludup ke tanah besar menggunakan feri,” ujarnya.
Katanya, semua ahli sindiket yang ditahan dipercayai mempunyai hubungan dan bekerjasama dengan ejen sindiket di Yangon, Myanmar. – KOSMO! ONLINE