BRUSSELS, Belgium – Seorang penunggang basikal yang pernah tular selepas dirakam menendang seorang budak perempuan, menyaman bapa kanak-kanak itu kerana berkongsi video kejadian tersebut di media sosial.
Akhbar Metro UK melaporkan, video kejadian itu berlaku semasa Hari Krismas pada 2020.
Lutut penunggang basikal dengan identiti tidak didedahkan itu dikatakan terkena budak berusia lima tahun tersebut ketika mereka berada di sebatang jalan bersalji di Baraque Michel, Belgium.
Bapa budak perempuan itu, Patrick Mpasa sedang berjalan bersama keluarganya ketika kejadian.
Dia yang secara tidak sengaja merakam kejadian itu telah memuat naik video tersebut di media sosial dengan mendakwa bahawa penunggang basikal berkenaan tidak meminta maaf.
Kes itu dibawa ke mahkamah di mana penunggang basikal itu didapati bersalah dan perlu membayar pampasan sebanyak €1 (RM5) kepada Mpasa.
Selepas setahun, penunggang basikal berkenaan menyaman Mpasa kerana dikatakan menyebar fitnah sehingga menyebabkan dia menghadapi tindak balas yang teruk daripada orang ramai.
Selepas dua tahun pertikaian undang-undang, penunggang basikal tersebut memenangi tuntutan mahkamah baru-baru ini.
Jumlah pampasan yang perlu dibayar Mpasa akan ditentukan pada April 2024. – Agensi