fbpx

Pengguna kena ‘sidai’ empat jam, sampai matikan enjin kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kayu yang bergelimpangan di lokasi kemalangan di KM 164.8, Lebuh Raya Utara-Selatan di Bukit Minyak Sungai Bakap, awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara dikatakan terperangkap dalam kesesakan selama hampir empat jam berikutan kemalangan membabitkan enam buah kenderaan termasuk dua treler di Bukit Minyak/Sungai Bakap di sini, pagi tadi.

Kemalangan kira-kira pukul 4 pagi itu mengakibatkan sebuah lori yang sarat dengan muatan kayu terbalik sehingga bergelimpangan dan menghalang sepenuhnya laluan menghala ke George Town dan Alor Setar di Kedah.

Seorang pengguna lebuh raya yang dikenali sebagai Qaseh berkata, mereka terpaksa menempuh kesesakan dalam tempoh lama sebaik keluar dari Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Gunung Semanggul di Perak, bermula pukul 4.40 pagi.

Menurutnya, keadaan di lebuh raya ketika itu terlalu sesak dengan kenderaan yang menghala ke arah utara sehingga sebahagian besar pengguna terpaksa mematikan enjin buat sementara waktu.

“Kami kena sidai (terperangkap) hampir empat jam atas jalan. Kami keluar dari RNR Gunung Semanggul hala utara dalam pukul 4.30 pagi, dalam masa 10 minit sahaja sudah sangkut jem (kesesakan).

“Kereta langsung tidak bergerak dari langit gelap sampailah ke cerah, terang-benderang. Ini pertama kali kena, dari enjin kereta hidup sampai tutup. Sudahlah hujan, hendak buka tingkap pun tidak boleh.

“Habis kereta depan belakang matikan enjin sebab sudah lama sangkut kena sidai. Laluan tersebut terhalang penuh dengan kayu hala utara,” ujarnya.

Ciapan yang dibuat di laman Twitter@plustrafik berhubung situasi terkini kemalangan jalan raya melibatkan enam kenderaan di Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Seorang lagi pengguna lebuh raya yang turut berdepan nasib sama memberitahu, kenderaan dari Plaza Tol Bandar Baharu di Kedah terpaksa berpatah balik disebabkan kesesakan yang teruk menghala ke sebelah utara.

Bagaimanapun, beritahu seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Ashmir, setakat pukul 1 tengah hari semalam, keadaan trafik di lebuh raya berkenaan kembali pulih.

Sementara itu, berdasarkan ciapan yang dibuat oleh @plustrafik di laman Twitter, semua lorong berhampiran lokasi kemalangan terpaksa ditutup buat sementara waktu dan dibuka secara berperingkat-peringkat.

Sehingga pukul 9.05 pagi tadi katanya, laluan arah utara masih ditutup untuk kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan tersebut dan trafik dilencongkan ke Plaza Tol Bandar Baharu.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan itu bagaimanapun selesai kira-kira pukul 11.41 pagi dan laluan kiri serta kanan menghala ke utara juga telah dibuka untuk semua kenderaan.

Dalam kemalangan itu, seorang wanita warga emas berusia 60 tahun disahkan maut akibat tersepit dalam kereta jenis Toyota Corolla yang dia naiki bersama empat lagi individu.

Selain itu, seramai tujuh mangsa termasuk pemandu treler muatan kayu, empat individu yang menaiki kereta Toyota Corolla serta dua individu yang menaiki kereta Perodua Bezza dilaporkan mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI