MUAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram baharu, Ir Nazri Abdul Rahman tidak menunggu masa lama selepas kemenangan apabila meluangkan masa bersama pengundi.
Nazri berkata, waktu lapang yang ada hari ini akan digunakan sepenuhnya untuk bertemu mereka kerana memberi kepercayaan untuk menjadi wakil suara ke peringkat tertinggi negeri Johor.
“Mungkin esok lusa saya mulai sibuk dengan tugas baharu jadi wakil rakyat jadi masa yang ada ini kita selaraskan keperluan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Nazri turut mahu mendekati anak muda dan memberikan kesedaran kepentingan untuk keluar melaksanakan tanggungjawab mengundi adalah antara perkara pertama yang akan dilakukan oleh Nazri setelah dipilih menjadi wakil rakyat.
Menurutnya lagi, perkara berkenaan dilaksanakan setelah melihat kurangnya golongan itu untuk keluar mengundi.
Ujarnya, beberapa program akan direncanakan bagi kawasan di Simpang Jeram untuk anak muda seperti acara sukan dan rekreasi yang melibatkan pelbagai kaum, di mana ia dilaksanakan sebaik sahaja beliau selesai mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di situ.
“Kita di sini (DUN Simpang Jeram) juga akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan program yang sesuai, terutamanya mereka yang kali pertama mengundi, terutamanya pengundi 18 tahun.
“Pemahaman kepada golongan muda ini untuk mengundi dan memilih pemimpin yang mampu bekerja untuk mereka adalah perkara yang penting,” katanya ketika mengadakan perjumpaan bersama pengundi di Jalan Bakri Batu 3, dekat sini semalam.
Sementara itu, bagi pengundi Mohd Khuzai Supar, 54, mengharapkan setelah dipilih menjadi wakil rakyat, Nazri akan dapat menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh dedikasi.
“Jalankan setiap yang telah dijanjikan pada kempen lepas agar rakyat di kawasan Simpang Jeram ini mampu menarik nafas lega setelah pemimpin yang mereka pilih adalah yang tepat,” katanya.
Nazri yang juga Timbalan Ketua Timbalan Ketua Kawasan Amanah Parlimen Bakri memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dengan jumlah majoriti 3,514 undi.