fbpx

Misi menyelamat penyelidik dari gua bawah tanah bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dickey terperangkap di dalam Gua Morca pada kedalaman lebih 914 meter sejak 2 September lalu. – AFP

ANKARA, TURKIYE – Usaha untuk menyelamat seorang penyelidik dari Amerika Syarikat yang jatuh sakit ketika berada pada kedalaman 914 meter di bawah tanah sebuah gua di Turkiye telah bermula dengan anggota penyelamat dan doktor dari pelbagai negara turut mengambil bahagian.

Akhbar Metro UK melaporkan, Mark Dickey, 40, mula muntah-muntah kerana mengalami pendarahan dalam perut semasa melakukan ekspedisi di Gua Morca, Pergunungan Taurus.

Pasukan penyelamat dan doktor dari seluruh Eropah berusaha untuk merawatnya ketika dia terperangkap di bawah tanah dan kini, usaha membawa Dickey ke permukaan telah bermula.

Agensi pengurusan bencana Turkiye berkata, misi membawa Dickey naik ke permukaan mungkin mengambil masa selama 10 hari kerana dia perlu berhenti dan berehat secara kerap ketika dibawa di atas pengusung melalui laluan sempit.

“Petang ini (semalam), misi membawa Dickey dari tapak kem pada 1,040 meter ke kem 700 meter telah bermula,” kata seorang pegawai agensi berkenaan.

Seramai 190 orang dari lapan negara membantu dalam misi tersebut termasuk para doktor, paramedik dan pakar gua yang berpengalaman, dengan 153 daripadanya merupakan pakar mencari dan menyelamat.

“Kami menerima maklumat bahawa keadaan Dickey semakin baik selepas dibantu pasukan perubatan. Dia berada dalam keadaan stabil setakat semalam (kelmarin),” kata Gabenor Mersin, Ali Hamza Pehlivan.

Dickey terperangkap di dalam Gua Morca sejak 2 September lalu selepas mengalami pendarahan gastrousus.

Dia sedang melakukan misi antarabangsa untuk memetakan gua ketiga terdalam di Turkiye itu apabila secara tiba-tiba jatuh sakit, yang menyebabkannya tidak mampu memanjat sendiri ke permukaan. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI