KUALA SELANGOR – Kolej Vokasional (KV) Kuala Selangor mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan sajak kemerdekaan terpanjang di negara ini.
Rekod itu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi ciptaan 157 buah rangkap sajak bertajuk Patriotik Malaysia yang dideklamasikan lebih sejam oleh seramai 50 pelajar dan pensyarah kolej berkenaan.
Pengarah KV Kuala Selangor, Mohd. Daud Ismail berkata, idea itu tercetus sejak Mei lalu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan bersempena Hari Terbuka kolej itu tahun ini.
“Sajak khas itu dicipta hasil karya 50 warga kerja KV Kuala Selangor terdiri daripada pensyarah dan pelajar Tahun Satu serta Dua Sijil Vokasional Malaysia (SVM).
“Objektif utama kami bertujuan menghidupkan lagi rasa cintakan Malaysia dan mencungkil bakat dalam penulisan karya kreatif,” katanya ketika ditemui selepas menerima sijil pengiktirafan itu di KV Kuala Selangor, Bestari Jaya, di sini.
Sijil itu diserahkan wakil MBOR, Siti Nurhanim Mohd. Noh dengan turut disaksikan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan dan Hubungan Industri Bahagian Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Supian Mahmood.
Tambah Mohd. Daud, pihaknya bersyukur usaha jitu selama tiga bulan itu membuahkan hasil biarpun mendepani kekangan cuaca dan pelbagai aktiviti luar.
Sementara itu, Supian berkata, inisiatif berkenaan amat digalakkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai nilai tambah bagi KV sedia ada di seluruh negara.
“Selain memfokuskan faktor pembangunan inovasi, usaha lain terutama menyemarakkan ssmangat patriotik dan perpaduan turut boleh dilaksanakan.
“Keadaan itu membuktikan bahawa warga KV bukan saja menyumbang kepada pendidikan, malah melahirkan generasi modal insan berguna pada masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE