PUTRAJAYA – Kemenangan bergaya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram semalam akan dijadikan landasan untuk menawan semula kawasan yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, kemenangan itu bukan sahaja membantu mengekalkan majoriti Parlimen dua pertiga dengan kemenangan besar di Pulai, tetapi menghancurkan keyakinan PN untuk memenangi Simpang Jeram.
Beliau berkata, kejayaan besar di dua PRK itu turut disokong lebih 90 peratus daripada masyarakat bukan Melayu.
“Ia juga membuktikan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRN enam negeri yang lalu dan semalam dengan majoriti besar dalam dua PRK di Johor.
“Tentu sekali PN sebagai pakar fitnah akan memutar-belitkan kekalahan mereka sebagai suatu kemenangan kerana undi dah bertambah.
“Saya mahu ingatkan PN bahawa mereka pernah sebut PRN enam negeri adalah referendum rakyat, sebaliknya PH,BN menang undi popular dengan 49.5 peratus berbanding dengan PN 49.3 peratus,” katanya ketika berucap pada Persidangan Tahunan DAP 2023, di sini hari ini.
Katanya, PH-BN juga tidak akan terikut-ikut dengan permainan kotor politik parti lawan yang memainkan sentimen kaum dan ekstremisme.
Guan Eng berkata, Kerajaan Perpaduan hari ini harus mendedahkan politik fitnah, adu domba, kebencian, momokan dan ugutan yang memecah belahkan rakyat tanpa manfaat kepada sesiapa. – KOSMO! ONLINE