PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan cuaca buruk di tujuh buah negeri, malam ini.
Menurut hantaran di laman sesawang MetMalaysia, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang akan melanda beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Di pantai timur semenanjung, ribut petir diramal berlaku di satu dua tempat di Terengganu, Pahang dan Kelantan manakala cuaca sama turut melibatkan beberapa kawasan di Perak,” menurut hantaran tersebut.
Menurut laporan sama, ribut petir diramal turut berlaku di beberapa tempat di Wilayah Persekutuan Labuan dan satu dua tempat melibatkan Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat, Sabah.
“Hujan pula diramal berlaku di satu dua tempat di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang, Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE