fbpx

Himpunan RXZ: Penganjur mohon maaf kepada semua pihak terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Penganjur program Himpunan RXZ Members 5.0 yang berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus, Terengganu memohon maaf kepada semua pihak terlibat.

Menerusi perkongsian di laman Facebook RXZ Members-Official, permohonan maaf itu berhubung beberapa isu dan insiden melibatkan peserta dengan pihak berkuasa sepanjang dua hari program itu berlangsung yang berakhir semalam.

Jelas kenyataan itu, apa yang berlaku itu adalah di luar jangkaan dan akan diperbaiki pada masa akan datang.

“Kami memohon maaf kepada seluruh RXZ Members yang hadir dengan penuh bersemangat sehingga sanggup menghabiskan wang ringgit, masa, tenaga dan juga melakukan segala persediaan demi mengembalikan semula kegemilangan RXZ.

“Kami juga memohon maaf kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tanpa disedari masih ada segelintir kecil yang tidak sengaja gagal mengikut lunas undang-undang jalan raya,” kata kenyataan itu.

Jelasnya, pihaknya juga telah berusaha memastikan program itu berjalan lancar memandangkan ia kali kelima diadakan serta turut mendapat penyertaan dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

“Kami telah mendapatkan nasihat serta saranan yang baik daripada pihak berkuasa, namun tidak berupaya untuk menjadikan ia sempurna.

“Oleh itu, kami dengan rendah diri memohon maaf dan akan cuba melakukan penambahbaikan untuk masa akan datang,”ujarnya.

Dalam kenyataan sama, pihak penganjur turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat serta terus memberikan sokongan dari dahulu sehingga kini bagi memastikan program itu sentiasa mendapat tempat di hati peminat RXZ dari seluruh Malaysia.

“Susah senang, jerit perih telah dilalui bersama, namun tidak pernah menjangka ujian dan cabaran ini hadir tanpa pernah kita menduga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI