fbpx

Gempa bumi Maghribi: Semua rakyat Malaysia yang dihubungi selamat – Zambry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat mencari mangsa di dalam runtuhan sebuah rumah di Moulay Brahim, wilayah Al Haouz hari ini. - AFP

PUTRAJAYA – Semua rakyat Malaysia di Maghribi yang telah dihubungi Kementerian Luar mengesahkan berada dalam keadaan selamat sekali gus tidak terjejas dengan kejadian gempa bumi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 820 orang setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, pada masa sama, pihaknya juga mengikuti secara dekat perkembangan terkini gempa bumi yang berlaku di Marrakech pada 8 September lalu.

“Saya telah menghubungi Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Datuk Astanah Abdul Aziz bagi mendapatkan maklumat perkembangan terkini kejadian.

“Beliau memaklumkan kepada saya, sehingga kini tiada laporan yang melibatkan rakyat Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia yang dihubungi setakat ini berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Menurutnya, beliau juga akan menghubungi Menteri Hal Ehwal Luar Maghribi, Nasser Bourita bagi mendapatkan maklumat terkini bencana seterusnya menawarkan bentuk bantuan diperlukan.

“Salam takziah kepada kerajaan Maghribi dan semua mangsa terlibat dalam bencana gempa bumi ini. Saya titipkan doa buat semua rakyat Maghribi,” jelasnya.

Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter melanda Maghribi lewat Jumaat dan memusnahkan bangunan selain menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan nyawa.

Menurut Institut Geofizik Kebangsaan Maghribi, gempa bumi itu adalah gegaran paling kuat yang melanda negara Afrika Utara sejak abad lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI