fbpx

‘Ditegur’ hantu raya pelaris kedai makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA mengalami demam panas selepas ditegur hantu raya ketika bertugas seorang diri di kedai makan milik majikannya. – ILUSTRASI SHAH HASAN

SELEPAS tamat pengajian, Bella (bukan nama sebenar) terus memutuskan untuk mencari pekerjaan bagi membantu meringankan beban keluarga.

Menangguhkan hasrat menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana, gadis berasal dari Ipoh, Perak itu berhijrah ke Kuala Lumpur dan menetap di rumah ibu saudaranya yang masih bujang.

Bagaimanapun, usahanya untuk mencari pekerjaan masih belum berhasil, meskipun sudah menghantar banyak permohonan jawatan kosong.

“Selama tiga bulan saya menetap di rumah mak su (ibu saudara), tetapi masih tiada rezeki hingga saya nekad menerima apa-apa sahaja pekerjaan dengan kelayakan lebih rendah.

“Hingga pada suatu hari, seorang kenalan mengajak saya bekerja di restoran milik bapa saudaranya yang ketika itu mencari seorang pelayan dan juruwang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Tambahnya, biarpun gajinya tidak besar, namun pekerjaan itu sedikit sebanyak dapat membiayai dirinya hidup di ibu kota.

Semasa awal-awal bekerja di sana, Bella tidak pernah merasakan apa-apa yang pelik, malah dia sangat sibuk kerana ramai pelanggan pada setiap hari.

Namun selang beberapa bulan, dia mula merasakan sesuatu yang aneh. Tambahan pula, dia sering pulang lewat kerana diberikan amanah menyiapkan laporan jualan selepas kedai ditutup.

“Kejadian pertama yang saya alami adalah semasa tinggal seorang sendiri selepas kedai tutup.

“Ketika itu, rakan-rakan lain sudah pulang dan majikan tidak datang untuk mengambil wang jualan harian.

“Ketika saya sedang membuat laporan jualan, saya terdengar seperti ada orang memasak di dapur. Awalnya, saya fikir ada rakan sekerja yang belum pulang tetapi selepas menjenguk, tiada sesiapa di sana.

“Begitu juga di bahagian hadapan, seolah ada orang menarik kerusi. Ketika itu, saya sudah merinding, namun kerana mahu siapkan laporan, saya abaikan,” ujarnya.

Kongsinya lagi, perkara itu kerap berulang terutama ketika dia tinggal sendiri pada waktu malam.

Bella ada bercerita dengan rakan sekerja dan majikannya tentang perkara itu, namun mereka hanya ketawa dan mengatakan itu mungkin mainan perasaannya sahaja.

Pada suatu hari, keadaan menjadi lebih teruk dan menyeramkan apabila Bella sudah mula melihat ada kelibat orang yang memerhatikannya dari jauh.

Katanya, pernah suatu hari, dia sudah siap membuat laporan, Bella ternampak ada satu lembaga di dapur.

“Merinding saya ketika itu, manakan tidak, tiada sesiapa selain saya di kedai pada waktu itu.

“Dengan cemas, saya terus keluar serta mengunci pintu. Namun, ketika dalam perjalanan ke stesen bas untuk menunggu kenderaan Grab, saya cuba menoleh ke arah kedai dan melihat kelibat lembaga itu di tingkap kaca,” kongsinya.

Jelasnya, dia tidak dapat melihat dengan jelas sosok itu, namun apa yang membuatnya takut adalah melihat mata merah lembaga berkenaan.

Sejak itu, Bella tidak berani untuk pulang lewat dan akan meminta rakannya menemaninya setiap kali dia ditugaskan menyiapkan laporan jualan.

Sejak ditemani rakan, Bella tidak lagi mengalami kejadian aneh. Namun, perkara itu sekali lagi terjadi ketika dia terpaksa tinggal sendiri kerana rakannya mempunyai hal kecemasan.

Kali ini, dia bukan hanya melihat lembaga itu dari jauh, malah ternampak jelas sosok makhluk itu.

“Kejadian ini memang tidak dapat saya lupakan, sosok itu kelihatan persis majikan saya, tetapi matanya merah.

“Ekoran kejadian itu, saya mengalami demam panas dan terus berhenti kerja, sebelum pulang ke kampung,” ujarnya.

Kongsinya lagi, ketika dibawa berubat, seorang alim memberitahu bahawa Bella telah ‘ditegur’ oleh hantu raya yang sudah lama berada di kedai tersebut.

Katanya, makhluk itu bertuan dan kemungkinan ia milik majikannya yang digunakan sebagai pelaris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI