KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki berhubung penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah lori di tempat letak kenderaan di Danau Kota, Setapak, dengan beberapa kesan kecederaan pada seluruh anggota badan disyaki dibunuh, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, penemuan mayat mangsa berusia 59 tahun itu susulan laporan yang dibuat adik perempuan mangsa pada pukul 1.48 pagi.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada telinga, bengkak di kepala dan pipi. Selain itu, terdapat kesan luka di mata dan lebam di bahu, tulang dada serta kesan darah dari dalam mulut.
“Bertindak di atas maklumat, polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berusia antara 36 hingga 37 tahun di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashari berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan permohonan reman ke atas kedua suspek akan dibuat dalam masa terdekat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menyalurkannya menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE