SELAIN putih, rona natural sering menjadi pilihan dalam tata hias kediaman kerana sifat warna itu yang memberi efek tenang dan damai pada sesebuah rumah.
Malah, rona-rona seperti coklat, hitam dan putih juga cukup mudah disuaipadankan dengan apa sahaja warna perabot.
Bagi jejaka bujang, Ihsan Nordin, rona natural hangat seperti coklat karamel cukup memikat hati lantas dia memilih untuk menggunakan rona tersebut sebagai rona utama pada kediaman.
Jelas Ihsan, dia cukup sukakan rona-rona natural yang hangat dan menyifatkan rona tersebut sebagai rona yang paling melambangkan dirinya.
“Saya seronok apabila dapat menghias sendiri kediaman yang dibeli, rasa tenang setiap kali masuk ke dalam rumah,” tuturnya.
Saat kaki melangkah masuk ke kediaman jenis apartmen di Johor Bahru itu, gabungan rona coklat hangat dan natural bersama putih mendominasi ruang tamu, sekali gus mencipta suasana damai.
Sofa coklat hangat menjadi titik tumpuan ruang tamunya sekali gus menyerlah estetika kediaman konsep moden minimalis.
Kerusi sofa kayu dengan kusyen rona kelabu pula bertindak sebagai penyeri ruang, manakala satu unit lampu rotan menjadi pilihan Ihsan sebagai lampu hiasan utama pada ruang tamunya itu.
Permaidani polos daripada rona senada menjadi pilihan Ihsan bagi menjadikan ruang tampak clean dan tidak sarat.
Tambah Ihsan, dia berasa puas apabila dapat menterjemahkan sendiri konsep hiasan dalaman pilihannya dengan melakukan banyak kajian berkenaan pemilihan warna dan perabot.
“Saya banyak membuat kajian berkenaan konsep kediaman dan dari mana saya boleh mendapatkan perabot yang bersesuaian.
“Justeru, selepas melihat hasilnya yang menyatu dengan baik, saya rasa cukup gembira dan berpuas hati,” katanya.
Kongsi Ihsan lagi, dia mengambil masa sekitar setahun untuk menjelmakan rumah idamannya.
Bagi ruangan makan kediamannya pula cukup ringkas dengan pemilihan meja makan segi empat tepat daripada material kayu yang dipadankan dengan kerusi makan polos rona putih.
Sebagai penyeri, satu pasu berisi dedaunan kering rona coklat diletakkan di atasnya sebagai hiasan.
Menjengah ke ruangan dapur pula, kabinet serba putih dengan tempat pemegang rona hitam menyerlah sisi elegan pada ruangan itu.
Kaunter dapur pilihan Ihsan pula adalah daripada rona asli kayu untuk disesuaikan dengan konsep keseluruhan kediaman.
Jelas Ihsan, ruang dapurnya berkonsepkan moden dan terdapat lubang di bahagian dapurnya yang digunakan untuk menyedut asap daripada masakan.
Hasilnya, dapur dengan keluasan yang agak terhad itu mampu tampil luas dan kemas.
Ujarnya, dia gembira dengan konsep kediaman tersebut dan tidak lokek berkongsi tentang pembelian barangan rumah dengan pengikut di Instagram.