SINGAPURA – Sepasang suami isteri di Singapura tidak menyangka melahirkan empat orang anak dengan kesemua mereka berkongsi tarikh lahir yang sama, lapor laman berita Mothership semalam.
Salihin Ahmad Perbah, 49, lega apabila isterinya, Khairunnisa Abdul Karim, 39, melahirkan kesemua anak mereka secara semula jadi.
Empat adik-beradik itu dilahirkan pada 6 September dengan tiga daripada mereka berusia 8, 10 dan 12 tahun. Anak bongsu pasangan itu pula dilahirkan pada 6 September tahun ini.
“Saya tidak sangka. Tarikh asal kelahiran dijangka pada 24 September. Saya terkejut dan gembira kerana selepas lapan tahun, tarikh lahir anak kami masih sama,” kata Salihin.
Anak bongsu mereka dilahirkan pukul 12.18 tengah hari (waktu tempatan) Rabu lalu dengan ukuran seberat 2.91 kilogram.
“Setiap kali kami menyambut hari lahir, ia benar-benar meriah terutama selepas anak ketiga dilahirkan. Hadiah yang mereka dapat memenuhi separuh ruang bilik,” katanya. – Agensi