MANJUNG – Seorang remaja lelaki dari Setiawan di sini terpaksa melupakan segala keseronokan beraktiviti dan bersosial seperti rakan seusianya apabila dia kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah ekoran penyakit Sindrom Edward yang dialami sejak lahir.
Remaja berkenaan, Allyas Dafi Mohd. Norizan, 15, juga tidak dapat mengikuti sesi persekolahan sejak Jun lalu ekoran penyakit berkenaan.
Menurut ibunya, Suriaty Dewy Anuar, 41, penyakit yang dihidapi Allyas Dafi itu jarang berlaku iaitu dengan nisbah seorang daripada 1,000 individu.
Katanya, penyakit tersebut menyebabkan tulang belakang anaknya membengkok sejak berusia tujuh tahun.
“Dia juga tidak boleh bercakap, jadi kami menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengannya. Memang sukar pada mulanya untuk ‘bercakap’ dengan Allyas Dafi tetapi lama-kelamaan kami sudah boleh agak apa yang dimahukannya.
“Apabila kami sekeluarga keluar untuk beriadah, dia tidak boleh berjauhan dengan ahli keluarga kerana cepat letih. Jadi, apabila berada di luar, Allyas Dafi akan ditolak menggunakan kereta sorong bayi ataupun bapanya mendukungnya,” katanya kepada Kosmo! di sini kelmarin.
Susulan itu katanya, Allyas Dafi memerlukan kira-kira RM35,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan tulang belakang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
Jelasnya, pembedahan di HRPB perlu dilakukan segera kerana keadaan tulangnya ketika ini memberi kesan buruk kepada tubuh anaknya yang semakin membengkok.
“Katanya, keadaan tubuhnya yang membengkok disebabkan oleh struktur tulang berbentuk huruf ‘S’ itu telah menghimpit paru-paru serta jantung Allyas Dafi,” katanya.
Beliau berkata, anak keduanya itu dikesan menghidapi Sindrom Edward selepas dilahirkan di Hospital Seri Manjung (HSM), bahkan keadaannya ketika dilahirkan juga agak kritikal sehingga memerlukan pemantauan rapi selama dua bulan.
“Buat masa ini, Allyas diiktiraf sebagai orang kelainan upaya (OKU) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kategori masalah pembelajaran dan bantuan yang diterima mereka ketika ini adalah dari Baitulmal iaitu sebanyak RM400 sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya kepada akaun Maybank Suriaty Dewi di 158293690418 atau menghubunginya di talian 011-1146 6529.