fbpx

Tindakan tegas guru guna murid ‘jual’ konten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika ditemui pemberita selepas Townhall itu. FOTO: AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru yang sengaja menggunakan anak murid sebagai kandungan laman sosial demi kepentingan peribadi mereka.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM mempunyai garis panduan yang ditetapkan bagi sebarang aktiviti melibatkan pelajar sekolah.

Tegas beliau, semua guru diingatkan supaya mematuhi semua peraturan itu terutama berkaitan isu integriti seumpamanya yang mampu menjejaskan reputasi golongan pendidik.

“Saya mengambil maklum mengenai perkara itu dan KPM sememangnya mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi guru sekolah.

“Justeru, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pihak terlibat sekiranya didapati bersalah melakukannya,” katanya ketika ditemui selepas program Townhall Rakyat di Kompleks Karangkraf di sini, petang ini.

Muka depan Kosmo! hari ini melaporkan golongan ibu bapa menyelar sikap segelintir guru yang sengaja menggunakan anak murid sebagai kandungan untuk dimuat naik ke akaun laman sosial mereka demi mengejar populariti dan mendapat habuan peribadi.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) turut mendedahkan pihaknya menerima sekurang-kurangnya satu aduan sehari daripada ibu bapa mengenai anak mereka yang dijadikan kandungan peribadi media sosial guru.

Mengulas lanjut, kata Fadhlina, semua ibu bapa diminta menyalurkan aduan rasmi kepada KPM menerusi saluran yang disediakan.

“Kita perlu merekodkan aduan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dan tindakan lanjut dilakukan kelak.

“Jika siasatan mendapati wujud kesalahan, tindakan serta merta akan diambil kepada guru tersebut tanpa kompromi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau ketika sesi wacana menjelaskan tiada istilah krisis dalam pendidikan negara namun ia lebih kepada cabaran dalam mendepaninya.

“Perkara paling penting kini memfokuskan akses pendidikan iaitu kemudahan asas dan prasarana sekolah daif di seluruh negara.

“Selain dasar pendidikan sedia ada, kita perlu mengelak tiga ‘dosa’ utama dalam KPM iaitu buli, jenayah seksual dan isu perpaduan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI