MUAR – Seramai 711 anggota polis bertugas dan tiada sebarang penutupan jalan di buat di semua lokasi sempena hari mengundi di DUN Simpang Jeram di sini, esok.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, tiada penutupan jalan di semua lokasi pusat mengundi dan pusat penjumlahan undi.
“Seramai 711 petugas termasuk bantuan sumber manusia dari Daerah Tangkak, Segamat, Batu Pahat dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor akan ditugaskan dalam mengawal keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
“Orang ramai digalakkan keluar mengundi awal dan merancang perjalanan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan cuaca tidak menentu,” katanya ketika di hubungi hari ini.
Sebanyak 68 saluran mengundi ditempatkan di 14 pusat mengundi bagi DUN Simpang Jeram dibuka pada pukul 8 pagi sehingga 6 petang.
DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 orang pemilih dengan 40,373 daripadanya adalah pengundi biasa manakala enam lagi pengundi tidak hadir luar negara.
Kerusi DUN terbabit memperlihatkan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Nazri Abdul Rahman, calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd Mazri Yahya manakala calon Bebas ialah S. Jeganathan.
PRK di DUN Simpang Jeram diadakan berikutkan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)pada 23 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE