PETALING JAYA – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berjaya menakluki puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania baru-baru ini.
Kejayaan ekpedisi menawan puncak tertinggi benua Afrika itu dimaklumkan menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Menurutnya, ekspedisi yang dicetuskan Tengku Amir Shah tersebut adalah bagi mengumpul dana untuk menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.
“Pendakian baginda ke puncak setinggi 5,895 meter itu, diiringi sepupu baginda, Engku Panglima Setia Diraja Datuk Syed Haizam Jamalullail, kekanda ipar baginda, Datuk Setia Aubry Rahim Mennesson serta Orang Besar Istana, Tengku Ezrique Ezzuddean dan rakan baginda, Keong Yeen Keoh.
“Antara penggerak utama misi meraih dana ini yang bermula pada 31 Ogos lalu, adalah berpunca daripada kos rawatan tinggi yang terpaksa dihadapi keluarga kanak-kanak yang berdepan masalah pendengaran dan pertuturan.
“Ini termasuk anak perempuan kepada Datuk Syed Haizam yang menghidapi masalah sama sejak usia 3 tahun,” katanya.
Untuk rekod, pada 2012, ekspedisi hampir sama iaitu pendakian ke Gunung Kinabalu, Sabah turut disertai Tengku Amir Shah bersama 23 kanak-kanak OKU dari Cheshire Home.
“Kepada yang ingin membantu menyumbang kepada misi dana ini boleh melakukannya di https://www.simplygiving.com/speech-and-hearing-aid-centre-yprtu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE