JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) mahu mengurangkan majoriti undi yang dimenangi calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu daripada 33,000 kepada kurang 10,000 undi.
Timbalan Pengerusi PN Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, kajian yang dilakukan pihaknya menunjukkan terdapat beberapa faktor yang akan membantu kempen PN.
Menurutnya, ia termasuk peningkatan jumlah pengundi muda, undi beralih arah daripada masyarakat Melayu, sokongan tambahan masyarakat bukan Melayu dan isu tempatan yang gagal diselesaikan wakil rakyat terdahulu.
“Setakat petang semalam, data dan maklum balas menunjukkan PN boleh mengurangkan majoriti yang bakal diterima oleh calon PH.
“Kami jangka sehingga 70 peratus majoriti diterima oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan dikurangkan antara 7,000 dan 9,000 undi sahaja.
“Data ini setakat semalam, dan kami yakin dalam tempoh beberapa hari ini, jumlah itu akan terus meningkat,” katanya kepada pemberita semalam.
Mohd. Solihan turut berharap masyarakat bukan Melayu turut memberikan sokongan kepada gabungan berkenaan untuk menghantar mesej kepada kerajaan.
“Pengundi bukan Melayu, berikan sokongan kepada calon PN, berikan kami peluang dan jangan terus tolak kami. Gunakan peluang ini untuk tunjukkan kamu ada hak dalam membandingkan khidmat wakil rakyat PH dan PN.
“Ini masanya untuk tunjuk suara anda terhadap penyalahgunaan kuasa dalam kerajaan ketika ini,” ujarnya.
Pada PRU15 lalu, Allahyarham Salahuddin memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti undi sebanyak 33,174 undi.