fbpx

PH, DAP perlu akui mereka perlu UMNO untuk jadi kerajaan – Nur Jazlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Jazlan.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO telah memberikan bantuan sepenuhnya kepada Pakatan Harapan (PH) dan calon mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat untuk menembusi kawasan Melayu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed sehubungan itu berkata, PH perlu sedar bahawa mereka memerlukan UMNO untuk terus kekal menjadi kerajaan.

Menurut beliau, jentera BN dan UMNO telah bekerja dengan ikhlas sepanjang tempoh dua minggu berkempen.

“Bila kempen bermula, saya tahu antara cabaran utama pada PRK kali ini adalah untuk meyakinkan orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO di Bahagian Pulai untuk menerima calon daripada Amanah yang dilihat sebagai proksi DAP.

“Sejak 1969 lagi apabila Allahyarham Tok Mat Rahmat (Mohamed Rahmat) jadi calon BN pertama di kerusi Parlimen itu dan saya sendiri menjadi Ahli Parlimen tiga penggal sehingga 2004 ke 2018, orang Pulai sinonim bekerja, berkempen dan mengundi calon UMNO. Tiba-tiba kali ini mereka terpaksa bekerja, berkempen dan diminta untuk sokong calon daripada parti yang sebelum ini berlawan dengan UMNO.

“Tambahan pula bila BN bekerjasama dengan PH membentuk Kerajaan Perpaduan, yang dalamnya ada DAP, PKR dan Amanah makin bertambah kerisauan penyokong UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Nur Jazlan, kesemua perasaan kekok itu diketepikan atas semangat Kerajaan Perpaduan, bersesuaian dengan tujuan kewujudan Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat untuk berkhidmat kepada masyarakat Pulai.

Katanya, ini adalah senario politik baharu dimana sistem satu parti dominan sudah berlalu dan kini diganti dengan kerajaan campuran.

“Saya bersyukur sepanjang berkempen ini, ada angin perubahan dalam pola sokongan pengundi Melayu terutamanya UMNO di Pulai hasil kerja keras jentera daripada seluruh negara.

“Jadi BN dan UMNO Pulai khususnya sudah memberi yang terbaik untuk bantu calon Amanah pada PRK kali ini. Segala jentera BN sudah dikerah bagi mengisi kelompongan jentera PH di Pulai terutamanya daripada parti Amanah yang kekurangan ahli akar umbinya.

“Saya berharap Suhaizan tidak lupa bahawa orang UMNO dari Pulai yang memimpin tangannya bertemu masyarakat Melayu akar umbi dan bukan rakan parti PH. Jadi kini terserah kepada jentera PH terutama DAP untuk bekerja lebih keras di saat-saat akhir ini iaitu bagaimana untuk tarik seramai mungkin pengundi Cina yang selama ini jadi ‘fixed deposit’ mereka di Parlimen Pulai.

“DAP kena pastikan kerusi Pulai yang disandang rakan mereka dalam PH tak terlepas kepada PN (Perikatan Nasional). Sekali lagi saya ingatkan pengundi bukan Melayu, PH perlukan UMNO untuk memerintah. Orang Melayu masih cuak dengan bukan Melayu. Hanya UMNO boleh menjadi jambatan mengikat kerajaan. Kalau tidak alternatifnya adalah Pas,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI