MELAKA – Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini mengeluarkan dua waran tangkap terhadap dua saksi kerana gagal menghadiri prosiding perbicaraan penuh petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah.
Peguam pempetisyen, Abdul Hakim Amin Othman berkata, waran tangkap dikeluarkan terhadap Pengerusi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Akmal Zahin Zainal Zahir dan bekas Setiausaha Sulit Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Noor Hashimah Noordin.
Katanya, perintah waran tangkap terhadap Akmal Zahin dikeluarkan kerana kegagalannya untuk hadir sebagai saksi.
“Dia diperintahkan hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan berhubung dakwaan dirinya memberi sogokan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah.
“Bagaimanapun, Akmal Zahin gagal hadir pada tarikh perbicaraan dan Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Abu Bakar Katar telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
“Selain itu, video Akmal Zahin memberikan sampul yang dipercayai mengandungi wang kepada pengundi-pengundi dalam Parlimen Masjid Tanah juga telah dikemukakan kepada mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Melaka pada 7 Februari lalu menolak petisyen pilihan raya difailkan Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan kos sebanyak RM20,000.
Susulan pembatalan itu, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis mengisytiharkan Mas Ermieyati kekal sebagai penyandang kerusi dan beliau telah dipilih secara sah dalam PRU15 pada 19 November 2022.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 2 Mei lalu memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Masjid Tanah dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Tambah Abdul Hakim Amin, waran tangkap dikeluarkan terhadap Noor Hashimah kerana kegagalannya hadir ke mahkamah sebagai saksi sepina.
Menurutnya, mahkamah kemudian menetapkan 11 September depan untuk kehadiran kedua-dua saksi tersebut.
Pada PRU15, Mas Ermieyati memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan majoriti 4,411 undi menewaskan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan (Pejuang). – KOSMO! ONLINE