PENGANJURAN Le Tour de Langkawi (LTdL) dijangka kembali ke tarikh asal pada Februari atau Mac bermula 2025 dalam usaha menarik lebih banyak penyertaan pasukan-pasukan besar.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, Februari dan Mac adalah waktu terbaik bagi menganjurkan perlumbaan tersebut kerana masih berada di awal kalender Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selain faktor cuaca lebih baik.
Bagaimanapun, edisi ke-28 tahun depan mungkin kekal dengan penganjuran pada September atau Oktober kerana menganggap masa sudah suntuk selain perlumbaan perlu didaftarkan pada Jun.
“Setakat ini, memang kita boleh katakan terpaksa berada di kalender September atau Oktober. Jika ubah ke Februari atau Mac, kita perlu daftar pada Jun, jadi tahun depan mungkin tidak sempat.
“Kalau ada cadangan untuk tukar ke tarikh lama (Februari atau Mac), ia boleh dibuat pada penganjuran 2025 dan ke atas. Kita juga akui, (tarikh penganjuran) memang akan ada impak untuk tarik pasukan-pasukan besar.
“Justeru, memang lebih baik dianjur lebih awal, terutamanya jika kita ambil kira faktor cuaca. Februari atau Mac diramal cuaca agak stabil jika dibandingkan September dan Oktober,” kata Emir.
Beliau turut menjelaskan, jika LTdL kembali dianjurkan awal tahun seperti edisi-edisi terdahulu, ia mampu menarik penyertaan pasukan-pasukan besar yang mahu melakukan persiapan menghadapi perlumbaan Jelajah Dunia.