fbpx

NCCBA 2023 mantapkan proses PdPc

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAH (belakang, lima dari kiri) bergambar bersama pemenang Showcase of Best Practices sempena majlis penutup NCCBA 2023 di Subang Jaya kelmarin.

SUBANG JAYA – Persidangan Kebangsaan Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah 2023 (NCCBA) 2023, menjadi platform terbaik kepada warga pendidik berkongsi idea dan kepakaran bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Dianjurkan oleh Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC), ia selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjadikan proses Pelaksanaan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) bagi subjek tersebut lebih inovatif.

Bertemakan Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah untuk Bahasa Inggeris: Memperkaya Guru dengan Strategi Berkesan, persidangan tersebut menjadi bukti dedikasi KPM dan golongan pendidik untuk melakukan pembaharuan dalam bidang pendidikan.

Hampir 1,000 warga pendidik mengikuti persidangan secara hybrid. Peserta terdiri daripada guru-guru dari seluruh negeri dan 46 pembentang termasuk yang didatangkan khas dari luar negara menyertai persidangan tersebut.

Mendapat kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) dan Bahagian Profesionalisme Guru (BPG), NCCBA 2023 turut dilaksanakan secara hibrid.

Pengarah ELTC, Farah Mardhy Aman berkata, para guru amat memerlukan platform sedemikian untuk meningkatkan kemahiran dalam pentaksiran bilik darjah (PBD).

“Program ini julung kali diadakan dan akan dianjurkan lagi selepas ini tetapi mungkin ke ­peringkat antarabangsa pula ­kerana ada permintaan tinggi dalam kala­ngan guru.

“Guru kini perlukan platform seumpamanya kerana sebahagian mereka kekurangan kemahiran dan pengetahuan dalam menjalankan PBD,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan pe­rasmian penutup NCCBA 2023 bagi pihak Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di sebuah hotel, di sini baru-baru ini.

FARAH (depan, dua dari kanan) dan Dr. Kalminderjit Kaur (depan, kanan) bergambar bersama sebahagian peserta sempena majlis penutup NCCBA 2023 di Subang Jaya kelmarin. – FAUZI BAHARUDIN

Menurut Farah, dalam kala­ngan guru-guru ini ada yang mahir dengan pelbagai cara, pedagogi dan kaedah sesuai untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris.

“Idea-idea mereka sendiri sebenarnya menjadi platform untuk mendedahkan golongan ini tentang kaedah sesuai untuk mengajar Bahasa Inggeris.

“Murid-murid berlainan dari segi pembelajaran, ada yang cemerlang dan sedikit kurang. Jadi guru-guru ini akan peroleh idea untuk mengatasi jurang tersebut,” jelasnya.

Dalam masa sama menurutnya, persidangan itu berjaya menyerlahkan kreativiti guru-guru dalam mengolah pedagogi yang sesuai untuk murid masing-masing.

Selain itu, katanya, guru-guru KPM turut berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik, malah sangat kreatif apabila mereka berada dalam keadaan memerlukan.

“Kita dapat lihat guru dari Sibu, Sarawak yang jauh dari pedalaman, mereka berjaya ubah pendekatan pembelajaran dan pe­ngajaran terbaik untuk anak murid masing-masing.

“Ada sebahagiannya menggunakan teknologi dan ada juga secara manual untuk anak-anak murid yang tidak mempunyai kemudahan internet atau gajet,” kongsinya.

Sementara itu, Timbalan Pe­ngarah ELTC, Dr. Kalminderjit Kaur Gurcharan Singh berkata, antara perkara paling mencabar seperti disuarakan oleh guru-guru tersebut adalah untuk membuat penilaian formatif dengan jumlah pelajar yang ramai dalam sesebuah kelas.

“Penilaian formatif adalah bersifat peribadi kepada setiap murid bermaksud, guru-guru ingin melihat perkembangan setiap daripada mereka.

“Guru-guru perlu tahu instrumen sesuai untuk kenal pasti profil setiap pelajar dan inilah yang dibincangkan dalam persidangan ini, di mana para pembentang berkongsi tentang teknik, strategi dan pedagogi berkaitan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ketua Jabatan Jabatan Penilaian dan Pengukuran ELTC, Dr. T. Vanitha Thanabalan menyifatkan, persidangan ini telah berjaya dan matlamat penganjurannya tercapai.

“Kena ada kesedaran tentang polisi kita untuk penilaian formatif bukan hanya pencapaian akademik, malah juga pembinaan karakter.

“Itu yang kita ada bincangkan dan antara fokus perbincangan yang mana saya rasa ia adalah satu kejayaan besar persidangan ini.

“Ia bertepatan dengan polisi KPM yang berkonsepkan ‘Anak yang Baik lagi Cerdik’ (ABC) selain fokus kepada perkembangan sahsiah serta karamah insaniah untuk menjadi lebih global dan berdaya saing,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI