fbpx

Mahkamah: Tiga beranak antara 9 dituduh bergaduh, merusuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh daripada sembilan tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

KLANG – Sembilan lelaki termasuk tiga beranak yang tular bergaduh dan merusuh di Jalan Tepi Sungai di sini, Ahad lalu didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.

Kesemua tertuduh adalah T. Lohitvishnu, 23, P. Kumar,34; M. Komadass, 43; R.M. Pandiyan, 52; M. Baskaran,37; M. Thiagu, 40, selain T.T Selvam, 52 dan dua anaknya iaitu Mohgan Raj,25 serta Ruban Raj, 28.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa sebagai anggota perhimpunan menyalahi undang-undang dengan melakukan kesalahan iaitu telah bergaduh dan merusuh pada pukul 6 petang, Ahad lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Bahiyah Amir Haidi mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 bersama seorang penjamin.

Kesemua tertuduh diwakili Peguam A.Biranta, B.Yaashnipriya dan P. Aravind memohon jaminan rendah antara RM1,000 hingga RM2,000 dengan ada antara anak guam mereka mempunyai penyakit stroke dan diabetes.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM2,500 bersama seorang penjamin kepada sembilan tertuduh tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober depan. Kesemua tertuduh membayar jaminan tersebut.

Seorang tertuduh iaitu P.R Thanaskodi,57, tidak hadir ekoran sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di daerah ini dilepaskan tanpa dibebaskan.

Kosmo! pada 5 September lalu melaporkan pertengkaran mulut antara dua jiran akibat panggilan kasar berakhir dengan pergaduhan di Jalan Tepi Sungai, Klang pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, tiga lelaki termasuk dua beranak berusia 23 hingga 57 tahun itu cedera ringan di bahagian cuping telinga, lengan tangan, pipi serta dada selepas diserang rakan jirannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI