BELGRADE, Serbia – Seorang lelaki yang cuba membuka pintu kecemasan sebuah pesawat komersial dan menumbuk seorang pramugara telah dijatuhkan ke lantai oleh penumpang yang berani dalam pergelutan pada ketinggian 9,144 meter, lapor portal berita MailOnline semalam.
Insiden berlaku dalam sebuah penerbangan yang berlepas dari Tel Aviv, Israel dan menuju Lapangan Terbang Luton, Britain pada Isnin lalu.
Pesawat tersebut terpaksa mendarat cemas di Belgrade, Serbia.
Penumpang dikenali sebagai Victor Troboloni, 45, berjaya menangkap lelaki itu selepas dia cuba membuka pintu kecemasan dan pergi untuk menumbuk seorang pramugara, lapor akhbar The Sun
Troboloni dapat menundukkan lelaki itu dalam pergelutan dengan insiden tersebut dirakam oleh penumpang lain.
Rakaman video menunjukkan lelaki itu menjerit ketika Troboloni menariknya ke lantai pesawat milik syarikat penerbangan Wizz Air, sebelum seorang pramugari mengikat tangannya dengan tali kabel plastik.
Dalam satu kenyataan kepada The Sun, Wizz Air berkata: “Syarikat kesal atas kesulitan yang disebabkan kejadian tidak dijangka ini.” – Agensi