PETALING JAYA – Penyanyi yang terkenal dengan raut wajah dan suara mirip bintang legenda negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Fairuz Misran dilaporkan meninggal dunia, hari ini pada usia 38 tahun.
Berita duka itu dikongsikan sendiri adiknya, Sazlieyanti Misran menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.
“Innalillahiwainnahirojiun. Menerima perkhabaran sedih bahawa abang yang disayangi, Fairuz Misran telah kembali ke rahmatullah baru sebentar tadi (Jumaat). Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.
“Semoga rohnya dicucuri Rahmat dah diletakkan dalam kalangan orang yang beriman,” tulisnya.
Dalam hantaran berbeza, Syazlieyanti turut menjelaskan abangnya itu diketahui mengalami sakit dada dan pengsan sebelum dikejarkan ke sebuah hospital di Labuan.
“Alhamdulillah arwah pergi dengan senang. Hanya sakit dada dan pengsan lalu dibawa ke hospital. Sesampai sahaja di hospital, dikhabarkan arwah sudah tiada. Di hari Jumaat yang mulia ini, hari yang dicemburui oleh semua orang.
“Jenazah masih berada di Labuan. Keluarga masih berbincang sama ada mahu dikebumikan di Labuan (kampung isterinya) atau di Kimanis, Papar, Sabah (kampung kelahiran arwah). Semoga segala urusan arwah dipermudahkan,” ujarnya.
Terdahulu, Fairuz Misran yang dilahirkan di Sandakan, Sabah ini berjaya menempa nama dalam industri hiburan selepas berjaya menjuarai pertandingan bintang P.Ramlee peringkat kebangsaan pada tahun 2012.
Bukan sahaja mempunyai gaya yang sama, suara, teknik nyanyian serta mempunyai rupa paras yang sama seperti legenda negara ini turut membuatkan beliau dikenali dan disenangi ramai. – KOSMO! ONLINE