PETALING JAYA – ‘Dia yang paksa Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) letak jawatan. Baru sekarang mengaku Najib ada nilai tambah’
Demikian sindiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi terhadap bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu bakar.
Kata beliau, mantan Ketua Pemuda UMNO itu sebenarnya tidak suka Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO dibebaskan dari penjara.
“Sebenarnya KJ (Khairy Jamaluddin) tidak puas hati Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) lepas (kes mahkamah). Sebab itu ikhlaskah KJ supaya Najib bebas?
“Selama ini dia tidak pernah bersimpati dengan kes Najib. Menurut KJ lagi, Najib ada nilai tambah kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Zahid tidak ada. KJ silap jika nilai tambah jadi alasan untuk bebaskan Najib.
“Ini bukan soal nilai tambah. Ini soal selective prosecution (pendakwaan terpilih),” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Khairy Jamaluddin semalam mendakwa pembebasan Najib akan membawa nilai lebih besar kepada Kerajaan Perpaduan berbanding pembebasan Ahmad Zahid.
Mohd. Puad seterusnya mengingatkan Khairy Jamaluddin bahawa UMNO bangkit kerana konsensus dan istiqamah, bukan kerana nilai tambah sahaja, populis dan ‘keluar sekejap’. – KOSMO! ONLINE