KUALA PILAH – Jenazah bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin selamat dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti, di sini petang tadi.
Istiadat pemakaman Almarhumah Tunku Ampuan Najihah yang juga isteri kepada Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman selesai kira-kira pukul 6.37 petang dalam suasana cuaca mendung.
Jenazah baginda dimakamkan bersebelahan makam Almarhum Tuanku Ja’afar.
Terdahulu, Tunku Ampuan Najihah mangkat pada usia 100 tahun di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur, di sini pada pukul 6.53 pagi tadi.
Van membawa jenazah Almarhumah Tunku Ampuan Najihah tiba di Istana Besar Seri Menanti pada pukul 1.20 tengah tadi.
Pada majlis istiadat pemakaman, Almarhumah Tunku Najihah disemayamkan di atas palemba (adat istiadat istana) yang terletak tengah di dewan tingkat bawah Istana Besar Seri Menanti untuk penghormatan terakhir bagi kerabat diraja dan beberapa pemimpin.
Turut berangkat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan putera baginda, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.
Antara pemimpin yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam serta beberapa barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Amran Awaludin mengimamkan Solat Asar dan Solat Jenazah Almarhumah Tunku Ampuan Najihah.
Kemudian Jenazah Almarhumah Tunku Ampuan Najihah dibawa ke Makam Diraja Seri Menanti dengan pedati Diraja oleh pasukan penarik pedati 1 Briged Pangkalan Udara Sendayan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut mengiringi jenazah anakanda baginda, Tunku Datuk Seri Naquiyuddin, Tunku Tan Sri Imran dan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin.
Turut diadakan 16 das tembakan Gun Salute oleh 41 RAD Istiadat semasa pergerakan dari Istana Besar Seri Menanti ke Makam Diraja Seri Menanti. – KOSMO! ONLINE