SECARA lazimnya, kebanyakan daripada kita hanya akan mencari rawatan apabila jatuh sakit atau setelah disahkan menghidap sesuatu penyakit.
Oleh itu, masyarakat harus sedar bahawa mereka perlu mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan tahap kesihatan sebelum diserang dengan sesuatu penyakit.
Untuk itu adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang preventive healthcare ataupun pencegahan dalam penjagaan kesihatan.
Hal ini kerana ia mempunyai manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhan.
Lembaga Penasihat Pemakanan Herbalife, Dr. Rimbawan berkata, preventive healthcare adalah untuk mempromosikan dan mengekalkan kesihatan diri.
Tambahnya, penjagaan reaktif atau kuratif pula adalah untuk menangani isu kesihatan selepas mereka menghadapi sesuatu penyakit.
Menurutnya, apabila membincangkan hal preventive healthcare, kita akan belajar tentang cara mengekalkan kesihatan dari aspek pemakanan dan gaya hidup bagi mengelak penyakit.
“Preventive healthcare adalah amat penting kerana kita boleh mengajar orang cara memilih makanan yang baik, bagaimana mengawal kesihatan serta mencegah penyakit yang mungkin berisiko dihidapi.
“Terdapat pelbagai faedah kepada mereka yang turut mengamalkan preventive healthcare, antaranya adalah pengesanan awal.
“Sebagai contoh, pemeriksaan dan ujian secara berkala dapat membantu mengenal pasti masalah kesihatan pada peringkat awal, di mana ia lebih mudah dirawat dan mempunyai peluang kejayaan rawatan lebih tinggi,” katanya yang memiliki pendidikan dalam bidang biokimia pemakanan.
Tambahnya, melalui cara itu, ia dapat menjimatkan kos kerana preventive healthcare dapat mengurangkan keperluan rawatan perubatan yang mahal dan penjagaan jangka panjang disebabkan penyakit kronik.
Selain itu, preventive healthcare dapat meningkatkan kualiti hidup seseorang.
Dengan mengekalkan kesihatan yang baik, individu dapat menikmati kualiti hidup lebih tinggi tanpa apa-apa sekatan terhadap aktiviti harian.
Dalam pada itu, Dr. Rimbawan menjelaskan, dalam preventive healthcare, pendidikan tentang pemakanan sangat penting.
Terangnya, ilmu pemakanan penting bagi membolehkan kita membezakan makanan itu baik atau tidak, sekali gus membuat pilihan berinformasi.
“Pendidikan pemakanan adalah seperti pengetahuan nutrien penting yang diperlukan oleh tubuh dan bagaimana untuk memperolehnya melalui diet seimbang.
“Contohnya, pengambilan vitamin D yang mencukupi dapat membantu tubuh menyerap kalsium iaitu salah satu bahan utama untuk tulang kuat,” jelasnya.
Tambahnya, setelah mengenal pasti kekurangan pemakanan, mereka boleh mengambil langkah-langkah diperlukan untuk mengatasinya.
Tambahan pula, individu yang diberi pendidikan tentang pemakanan sejak usia muda, mereka lebih cenderung membangun sikap positif terhadap makanan.
Ini dapat memberikan manfaat jangka panjang bagi kesihatan dan kesejahteraan mereka secara keseluruhan. Apabila individu mempunyai pemahaman kukuh tentang pemakanan, mereka memiliki keupayaan membuat pilihan mengenai diet dan gaya hidup.
Sementara itu, tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat kini lebih suka makanan manis, masin dan berlemak.
Ini dapat dilihat daripada peningkatan penyakit tidak berjangkit di rantau ini, termasuk di Malaysia seperti diabetes, strok dan penyakit jantung.
“Namun begitu, saya gembira untuk berkongsi bahawa berdasarkan Herbalife’s 2023 Health Priority Survey, sebanyak 92 peratus rakyat Malaysia sedang mengambil langkah-langkah meningkatkan kesihatan mereka.
“Ini termasuk mempraktikkan diet yang seimbang, mengekalkan jadual tidur teratur serta mengambil vitamin atau suplemen,” ujar Dr. Rimbawan.
Sementara itu, masyarakat sangat digalakkan untuk mengikuti Garis Panduan Pemakanan Malaysia yang mempunyai 14 mesej yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Makanan harus mempunyai sumber karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral yang bagus dan kita juga harus minum air secukupnya.
Menurutnya, preventive healthcare bukan hanya menekankan aspek pemakanan sahaja, sebaliknya merangkumi risiko tingkah laku dan alam sekitar.
Kesimpulannya, preventive healthcare membincangkan bagaimana untuk mencegah penyakit dan cara mengekalkan badan sihat.