fbpx

Ada tangan ghaib kes Ahmad Zahid, Bung Mokhtar dan isteri – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sanusi.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa ada ‘tangan ghaib’ bagi kes mahkamah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Ab. Samad, yang ditarik balik dan dilepaskan.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) berkata, ia merupakan episod duka yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berkata, pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram perlu menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat tidak dapat menerima kegagalan tadbir urus itu lagi.

“PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram ini akan menjadi petunjuk adakah pengundi boleh menerima keputusan proses pendakwaan kes Ahmad Zahid, Bung Mokhtar (Ahli Parlimen Kinabatangan) dan isterinya yang ditarik dan digugurkan kerana kedua-dua kes itu ada kes prima facie malah sudah di peringkat bela diri.

“‘Tangan ghaib’ itu bukan sahaja membuang masa mahkamah dan pasukan penyiasatan malah rakyat menyaksikan episod sedih duka lara dalam tadbir urus pemerintahan Kerajaan Perpaduan pimpinan PH,” katanya dalam video berdurasi 6 minit 37 saat yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya, malam tadi.

Muhammad Sanusi memberitahu, beliau tidak dapat menghadiri beberapa siri ceramah di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kerana mempunyai tugasan rasmi di Mesir meninjau pelajar Kedah yang belajar di negara Asia Barat itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketempangan tatakelola dan tadbir urus kerajaan itu terus hilang kawalan ditambah dengan kegagalan mengawal selia harga beras ekoran keceluparan menteri yang diberi tanggungjawab menjaga sektor makanan ruji rakyat Malaysia itu.

“Kenaikan mendadak harga beras (import) adalah kerana keceluparan orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan sektor bekalan beras yang mengumumkan beras import tidak dikawal, menyebabkan ia naik harga dan dijual kepada RM39 (bagi kampit 10 kilogram).

“Maka kartel yang menyimpan beras tempatan juga menukar pembungkus menjadikan beras tempatan sebagai beras import untuk dijual pada harga RM39, padahal beras tempatan adalah barang kawalan yang dijual pada harga RM24 (kampit 10 kg) sebelum ini malah kini turut naik kepada RM29,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengajak pengundi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram supaya menterjemahkan penolakan kepada kezaliman Kerajaan Perpaduan menerusi proses undi esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI