BEIJING, China – Seramai 12 pasang anak kembar di China ditempatkan dalam kelas sama selepas mereka mendaftar masuk ke sebuah sekolah rendah pada permulaan sesi baharu persekolahan, lapor portal berita South China Morning Post semalam.
Mereka merupakan antara lebih 100 pelajar darjah satu yang mendaftar di Sekolah Rendah Hubin North Road, wilayah Shandong pada 1 September lalu.
Laman berita btime.com melaporkan, lima pasang kembar itu ialah perempuan, manakala selebihnya lelaki.
Rakaman 12 pasang kembar itu berjalan dalam barisan sambil berpegangan tangan menarik perhatian orang ramai di media sosial China.
“Hello, nama saya Meng Yunzhe. Saya berumur enam tahun. Saya suka membaca dan melukis,” kata seorang kembar itu dalam video tersebut.
Saudara lelakinya kemudian berkata: “Hello, nama saya Meng Yunkai. Saya berusia enam tahun. Saya suka memanjat, melukis dan membuat kraftangan.”
Pihak sekolah menempatkan pasangan kembar itu di kelas sama untuk membantu guru mengenali watak mereka dan menerapkan kaedah pengajaran terbaik.
Ini bukan kali pertama sekolah itu mempunyai pengalaman mendidik anak kembar yang ramai. Seramai 12 pasang kembar didaftarkan pada 2020 manakala 13 pasang kembar didaftarkan pada 2021 dan 2022. – Agensi