fbpx

[VIDEO] Lebih 10,000 rakyat sambut Agong, Raja Permaisuri di Lawas malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video yang memaparkan ketibaan konvoi Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Tebingan Sungai Lawas malam ini.

PETALING JAYA – Lebih 10,000 penduduk membanjiri Tebingan Sungai Lawas, Lawas, Sarawak untuk menyambut kedatangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah malam ini.

Walaupun hujan renyai-renyai sejak pukul 4 petang tadi, namun ia tidak menghalang penduduk menunggu ketibaan baginda berdua kira-kira pukul 8.12 malam.

Kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah menandakan hari pertama baginda berdua menjejak kaki ke Bumi Kenyalang untuk program Kembara Kenali Borneo setelah mengakhiri kembara lima hari ke Sabah.

Hadir menyambut ketibaan baginda berdua ialah Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Baginda berdua kemudiannya meluangkan masa selama setengah jam untuk menjamu santapan malam di The Lagun Tebingan Lawas.

Terdahulu, konvoi Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah memasuki Sarawak menerusi pintu masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Merapok, Lawas selepas mengakhiri program Kembara Kenali Borneo di Sabah sejak 3 September lalu.

Antara pengisian program di Tebingan Sungai Lawas malam ini termasuk persembahan sambutan kebudayaan daripada enam etnik iaitu Melayu, Kedayan, Lun Bawang, Tagal, Cina dan Iban serta sesi menandatangani plak Kembara Kenali Borneo.

Konvoi baginda berdua kemudian meneruskan perjalanan ke Brunei Darussalam melalui Jambatan Temburung sebelum ke Miri esok untuk meneruskan Kembara Kenali Borneo.

Daerah Lawas yang mempunyai jumlah penduduk seramai 46,200 orang menjadi tumpuan apabila menjadi lokasi pertama di negeri ini yang dilalui konvoi Kembara Kenali Borneo.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI