KUALA SELANGOR – Sebanyak tujuh daerah di Selangor dikenal pasti sebagai lokasi panas berisiko berlaku banjir bermula Oktober hingga awal Februari tahun depan.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, sebahagian besar daerah itu melibatkan kawasan yang pernah terjejas teruk dua tahun lalu.
“Tujuh daerah itu antaranya Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang, Gombak dan Kuala Selangor yang dilanda banjir pada 2021.
“Kawasan lain pula melibatkan Taman Sri Muda, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Pulau Indah, Teluk Gong, dan Bestari Jaya,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai 1,700 anggota termasuk pegawai bomba Selangor bersiap siaga bagi tujuan tersebut.
Tambah Wan Md. Razali, aset dan logistik sedia ada seperti 92 bot penyelamat pelbagai jenis juga bersedia digerakkan dalam operasi dan menyelamat.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, wujud keperluan penambahan anggota bomba di negeri ini terutama bagi penjawatan pegawai bomba gred KB19.
“Pada masa ini, terdapat 166 kekosongan bagi penjawatan itu dan pengisiannya bergantung kepada pengambilan baharu yang diselaraskan di peringkat Ibu Pejabat JBPM.
“Dari segi keperluan sumber manusia, kita menghadapi bebanan tugas yang tinggi ekoran berlaku banyak kes kemalangan, insiden dan bencana,” katanya. – KOSMO! ONLINE