PETALING JAYA – Produk ‘Sambal Nyet’ keluaran ‘content creator’ atau pencipta kandungan terkenal, Khairul Aming kini telah terjual sebanyak 2.4 juta botol selepas kira-kira dua tahun lapan bulan ia dipasarkan hampir tiga tahun dilancarkan.
Menerusi perkongsian di laman Twitter, Khairul Aming Kamarulzaman, 31, berkata, jumlah tersebut adalah bersamaan dengan nilai jualan RM33.5 juta.
Jelasnya, kedua-dua kilangnya juga kini sudah mula beroperasi dan ketika ini dalam fasa untuk melakukan automasi.
“Dengan sistem automasi ini, kita dapat meningkatkan pengeluaran Sambal Nyet kepada 7,000 botol sehari.
“Selain itu, kita juga mahu menyelesaikan beberapa isu yang sedia ada dalam memastikan kualiti sambal sentiasa berada di tahap yang baik,” katanya dalam klip video di Twitter semalam.
Mengulas lanjut, Khairul Aming menjelaskan bahawa kualiti produk sebelum ini agak tidak konsisten kerana nisbah sambal dan minyak kadang-kala berbeza dari satu botol ke botol.
Dengan menggunakan automasi katanya, setiap botol akan mempunyai bahan-bahan yang diagihkan dengan sekata dan bakal menyelesaikan masalah sambal kebocoran yang berlaku pada beberapa botol.
Khairul Aming menambah, penggunaaan teknologi itu juga adalah solusi untuk mengawal kos operasi memandangkan kos bahan mentah telah meningkat berbanding tiga tahun lalu.
Dengan berbuat sedemikian jelasnya, peningkatan kos tidak akan menjejaskan pelanggan.
Ujarnya, jualan Sambal Nyet kini juga meraih RM70,000 pada setiap hari dan mahu menaikkan kepada jumlah RM100,000 sehari.
Pada video sama, Khairul Aming turut memberitahu akan lebih banyak produk yang akan dijual di bawah jenamanya itu termasuklah produk kedua yang masih belum diumumkan secara rasmi.-KOSMO! ONLINE