BALING – Seorang pemuda maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan tiga motosikal di Kampung Sayak, Kuala Ketil, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam tadi itu, mangsa, Muhamad Ridhwan Rosli, 21, yang berasal dari Kampung Charuk Beras, di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsuddin Mamat memberitahu, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15zr hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Mangsa kemudian bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari bertentangan iaitu dari arah Kampung Charuk Beras menghala ke Kuala Samak.
“Akibat kemalangan itu, mangsa terpelanting ke tengah jalan dan bergesel dengan sebuah motosikal juga jenis Yamaha Y15zr yang datang dari arah belakang,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15zr yang juga datang dari arah belakang telah melanggar mangsa yang berada di tengah jalan.
“Kejadian menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE