fbpx

Nikmati alam legenda China penuh magis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA pengunjung terpegun melihat pinggan lut sinar yang disusun bagi membentuk objek tertentu.

MENGIKUT legenda masyarakat China di zaman silam, terdapat tiga puak berbeza yang tinggal di dalam hutan, di atas gunung dan tepi pantai.

Puak-puak tersebut sentiasa mengehadkan sempadan antara kawasan masing-masing bagi mengelakkan berlakunya konflik antara mereka.

Bagaimanapun, kanak-kanak daripada puak terbabit tidak faham tentang sempadan yang digariskan oleh orang tua mereka.

Atas dasar ingin tahu, mereka saling bertemu di satu pusat tanpa memikirkan perbezaan yang wujud.

Sewaktu bermain, mereka mencipta makhluk mitos yang melambangkan penyatuan terhadap setiap puak terlibat.

Badan makhluk tersebut diinspirasikan daripada badan ular yang panjang dan bersisik.

Sementara empat kaki makhluk tersebut direka menyerupai kaki helang yang sering terbang bebas di atas gunung.

Bagi mewakili puak tepi pantai, sirip ikan dipilih untuk dipadankan pada badan makhluk tersebut.

Salah seorang pengunjung bergambar di depan kepala naga besar dengan mata berwarna merah. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHAR

Haiwan yang mewakili elemen daripada ketiga-tiga puak berkenaan dipanggil ‘long’ atau naga.

Di atas semangat perpaduan dalam legenda Moonlit Dragon tersebut, Laman Kwai Chai Hong mempersembahkan pameran hiasan bertemakan naga dan bulan.

Sebaik sahaja pengunjung memasuki Lorong Panggung, Kuala Lumpur, mereka akan melihat jambatan yang dipayungi awan.

Menurut rakan kongsi pengurusan Bai Chuan Management, Zeen Chang, pameran sempena Pesta Tanglung itu bertujuan membawa pengunjung ke alam legenda China penuh magis.

“Naga melambangkan kekuatan, rahmat dan perlindungan, sementara bulan menandakan kesatuan serta keutuhan.

“Pameran Moonlit Dragon juga mencerminkan hati dan semangat perpaduan rakyat Malaysia yang datang daripada pelbagai latar belakang kaum,” katanya ketika ditemui di pameran itu.

Setelah melalui jambatan, pengunjung akan dipukau dengan kepala naga besar dan mata berwarna merah yang memandangkan ke arah bulan. Di sebelah kiri, bingkai kayu dihiasi pinggan plastik lut sinar disusun dalam bentuk beralun persis badan naga.

Sekali pandang, badan naga itu seakan-akan menembusi dinding dan memenuhi ruangan tersebut.

Cahaya yang memasuki pinggan lut sinar berkenaan memberikan efek tanglung sekiranya dikunjungi pada waktu malam.

Menurut pereka di sebalik pameran tersebut, Kaiyi Wong, perisian reka bentuk 3D AutoCAD digunakan untuk memastikan pemotongan bahan tepat untuk struktur naga.

“Projek ini memakan masa selama tiga bulan daripada permulaan konsep hingga selesai.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 10,000 keping pinggan lut sinar digunakan bagi menterjemahkan legenda ini dengan baik,” kongsinya.

Laman Kwai Chai Hong dibuka kepada orang ramai setiap hari dari pukul 9 pagi hingga tengah malam.

Para pengunjung boleh berkunjung ke pameran Moonlit Dragon sehingga 8 Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI