PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menetapkan sasaran baharu kadar kitar semula di negara ini kerana ia jauh ketinggalan berbanding kadar ditetapkan di peringkat antarabangsa.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ketika ini, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menetapkan sasaran 40 peratus menjelang 2025 berbanding 60 hingga 70 peratus di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kadar kitar semula di Malaysia ketika ini adalah pada tahap 33.1 peratus dan dua tahun lagi diperlukan bagi mencapai sasaran 40 peratus.
“Sasaran baharu kadar kitar semula itu akan ditentukan oleh Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (Majlis NCEC) yang akan bermesyuarat kali pertama pada Disember depan,” katanya pada majlis pengumuman majlis berkenaan, di sini, hari ini.
Katanya, Majlis NCEC ini telah diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Ogos lalu sebagai platform nasional bagi mempercepatkan agenda peralihan pengurusan sisa pepejal negara.
Kor Ming berkata, Majlis NCEC ini juga telah mendapat sokongan daripada 15 buah kementerian dan bakal memberi tumpuan kepada enam elemen yang menyokong ekosistem kitaran.
Menurutnya, enam elemen itu termasuk membangunkan pasaran kitar semula, mereka bentuk produk kitar semula, menggalakkan pengasingan sisa dipunca, menyedia kemudahan infrastruktur, membangunkan sistem data bersepadu dan mewujudkan platform kerjasama awam, swasta dan komuniti. – KOSMO! ONLINE