SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertaruhkan kereta solar, KerisGen5 pada pertandingan World Solar Challenge 2023 di Darwin, Australia pada 22 September ini.
Penasihat Pasukan Eco Photon UiTM, Prof. Madya Ir. Dr. Azli Abd. Razak berkata, pembinaan kereta solar generasi kelima itu bernilai RM800,000 yang dihasilkan sepenuhnya para pelajar Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) UiTM.
Katanya, ia dijangka mampu memberikan saingan kepada 40 pasukan negara lain yang turut serta pertandingan yang memasuki edisi kelima itu.
“Malah, pasukan dari Singapura terkejut kerana kita mampu membangunkan sebuah kereta solar dibawah RM1juta berbanding kos sepatutnya antara RM3 juta hingga RM5 juta.
“Kita berharap pasukan UiTM mampu mencapai kedudukan 10 terbaik dunia dan juara di peringkat Asia Tenggara, ” katanya kepada pemberita pada pelancaran KerisGen5 di UiTM di sini hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Prof. Dr. Mohamad Hariri Abdullah.
Jelas beliau, UiTM sebelum ini pernah bergelar juara bagi kategori Asia Tenggara mengatasi Thailand, Indonesia dan Singapura pada penyertaan kali ketiga pada tahun 2019.
Sementara itu, Mohamad Hariri berasa bangga terhadap kemampuan para pelajar dengan pasukan itu menjadi wakil tunggal pertandingan tersebut.
Justeru, beliau turut berharap agar semua pelajar terlibat dapat mempelajari pelbagai aspek pengurusan, penajaan dan libat urus dengan semua kementerian. – KOSMO! ONLINE