fbpx

Kelantan beri bayangan penjenamaan semula AKSB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nassuruddin (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pegawai dan penjawat awam yang hadir pada Majlis Amanat Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh MUSTAQIM MOHAMED / KOSMO!

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan memberi bayangan akan melakukan penjenamaan semula Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dalam tempoh 100 hari pemerintahan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, ia merupakan salah satu tanggungjawab kepada kepimpinan kerajaan negeri yang perlu berusaha gigih dalam melaksanakan kesemua 18 tawaran Perikatan Nasional (PN) pada PRN lalu, bertemakan Kelantan Maju Rakyat Sejahtera.

Menurutnya, antara yang diberikan keutamaan dalam tawaran tersebut ialah mewujudkan Pasukan Petugas Khas Air Kelantan ke arah penjenamaan semula AKSB.

“Pasukan yang akan ditubuhkan itu bertanggungjawab untuk membuat laporan kepada saya berkenaan urusan AKSB dalam masa 100 hari.

“Antara langkah lain yang bakal diambil dalam langkah penjenamaan semula AKSB adalah pelantikan lebih ramai ahli lembaga pengarah yang pakar dalam industri bekalan air selain memperkasakan sistem portal penyampaian maklumat dan aduan AKSB,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Menteri Besar di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Nassuruddin yang juga Ketua Penerangan Pas Kelantan memberitahu, bagi memastikan perkara berkenaan dapat direalisasikan, Pembangunan Bekalan Air Bersih turut menjadi salah satu daripada tujuh kerangka utama pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri berhasrat untuk membentui sebuah kerjasama yang melibatkan perkongsian kepakaran dari pelbagai bidang berkaitan kerangka Pembangunan Bekalan Air Bersih.

“Tawaran yang dikemukakan oleh PN menjadi tekad dan perancangan kerajaan negeri untuk dilaksanakan pada penggal ini termasuk pembangunan bekalan air bersih yang merupakan salah satu masalah penting di negeri ini.

“Kepimpinan kerajaan negeri komited melaksanakan tawaran-tawaran berkenaan. Sebagai lagkah pertama, sebahagian agenda dalam tawaran itu akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pemerintahan kerajaan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI