fbpx

Jasmine Loo disiasat pecah amanah, usaha kesan aset lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (kiri) ketika melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Penutup Simposium Sains Forensik Kebangsaan 2023 yang berlansung di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak Ogos lalu bagi tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan di bawah Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) 2001 masih diteruskan ketika ini bagi mengesan aset-aset lain milik Jasmine Loo.

“Siasatan Jasmine Loo di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan telah kita hantar kepada AGC sejak awal lagi.

“Seperti yang dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada dua hari lalu, banyak rampasan yang akan dibuat dan kita masih teruskan lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Simposium Sains Forensik kali ke-4 di Maktab PDRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut berhubung menjejaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low masih jauh, Razarudin berkata, pihaknya sama sekali tidak pernah berhenti menjejaki ahli perniagaan itu.

“Saya sudah cakap sebelum ini. Jerat tidak pernah lupakan pelanduk.

“Sama juga seperti Jasmine Loo, orang tidak bertanya mengenai keberadaan dia sebelum ini, tetapi kita (polis) berjaya bawa balik, sama juga seperti Jho Low,” jelasnya.

Sebelum ini, PDRM memaklumkan, pihaknya berjaya mendapatkan semula kira-kira RM93.2 juta aset merangkumi hartanah dan akaun bank milik Jasmine Loo yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Sebelum ini, Ayob Khan dilaporkan berkata, kesemua aset dan hartanah berkenaan dipercayai berada di beberapa negara luar iaitu di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Beliau dipetik berkata, turut dirampas hasil daripada dana 1MDB iaitu dua utas jam tangan mewah iaitu jenama Richard Mille dan Harry Winston dan 13 buah beg tangan termasuk jenama Birkin dan seutas gelang tangan dan pelbagai dokumen.

Jasmine Loo yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis pada 7 Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI