fbpx

Isu kelemahan tata kelola tidak harus diselindung – KSN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhar (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima ketika Majlis Perasmian Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah ke-2 di Sepang, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

SEPANG – Isu-isu kelemahan tata kelola yang melibatkan kepentingan negara dan menyebabkan ketirisan wang kerajaan perlu dicari jalan penyelesaian bukannya diselindungi atau ‘sweep under carpet.’

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, ketirisan wang kerajaan berlaku disebabkan adanya ruang dan peluang serta mendedahkan kepada salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan kelemahan pentadbiran.

Beliau berkata, peluang melakukan rasuah boleh wujud apabila berlaku kelemahan di dalam perundangan serta sistem kawalan dalaman.

“Contohnya, kelewatan memberi perkhidmatan akibat karenah birokrasi sedangkan pelanggan berkehendakkan perkhidmatan itu dengan segera.

“Keadaan ini boleh mewujudkan peluang rasuah untuk mendapatkan perkhidmatan yang cepat. Justeru, sistem dan prosedur yang dikenal pasti tidak cekap dan membuka ruang peluang perlulah diubah dan ditambah baik,” katanya.

Teks ucapan Mohd. Zuki dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Azhar Ahmad pada majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah 2023, di sini, hari ini.

Katanya, Perkhidmatan Awam sentiasa berusaha membanteras rasuah dengan memastikan tata kelola terbaik dan integriti yang tinggi menjadi amalan dan budaya semua pihak.

Mohd Zuki berkata, kerajaan amat serius dalam memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negara bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan tanpa rasuah bermula daripada tata kelola yang baik dan integriti yang tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI