PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di beberapa buah negeri, petang ini.
Menurut hantarannya di laman Facebook, ribut petir diramal berlaku di beberapa tempat di Terengganu, Johor, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Melaka pula, cuaca diramal baik sepanjang hari,” katanya dalam hantaran sama.
Tambah MetMalaysia, di Sabah, ribut petir diramal berlaku di beberapa tempat iaitu di Pedalaman dan Pantai Barat. Hujan juga dijangka berlaku di satu dua tempat di Tawau, Sandakan, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Di Sarawak pula, ribut petir diramal berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
“Sementara itu, di negeri-negeri lain, MetMalaysia meramalkan cuaca cerah sehingga petang ini,” katanya.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE