fbpx

EPL: Amrabat ada masalah kecederaan belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMRABAT sah menjadi pemain United dengan status pinjaman semusim selepas melengkapkan perpindahan dari Fiorentina. – FB MANCHESTER UNITED

LONDON – Pasukan perubatan Manchester United dilaporkan mengesan beberapa kecederaan belakang yang dialami pemain baharu mereka, Sofyan Amrabat, namun urusan perpindahannya tetap diteruskan.

Amrabat menyertai United dari Fiorentina dengan status pinjaman selama semusim menerusi bayaran sebanyak £8.5 juta (RM49.73 juta) dengan pilihan untuk mendapatkan secara tetap pada penghujung musim dengan tambahan bayaran £21.5 juta (RM125.79 juta).

Pemain Maghribi berusia 27 tahun itu menjadi pemain keempat tiba di Old Trafford selepas Altay Bayindir tiba dari Fenerbahce, Sergio Reguilon dipinjam dari Tottenham Hotspur, manakala Jonny Evans menandatangani kontrak setahun bersama United.

Bagaimanapun, menurut laporan The Athletic pegawai United mengesan sedikit kecederaan belakang yang dialami Amrabat ketika ujian perubatan dijalankan, tetapi urusan perpindahannya diteruskan selepas menilainya ia bukanlah masalah yang serius.

Amrabat sebelum ini pernah mendedahkan bahawa dia berdepan kesukaran pada kempen Piala Dunia 2022 lalu ekoran kecederaan yang dialaminya itu.

Dia hampir terlepas aksi menentang Sepanyol di pusingan 16 pasukan terbaik ekoran masalah berkenaan, namun berjaya menghabiskan tempoh 120 minit aksi berkenaan selepas menerima suntikan ubat penahan sakit sebelum perlawanan.

“Ada perkara yang ramai tidak mengetahuinya, saya hampir tidak dapat beraksi pada perlawanan itu (menentang Sepanyol). Saya mengalami kecederaan belakang yang saya tidak tahu puncanya.

“Saya mengalaminya sehari sebelum perlawanan itu, saya tidak dapat bergerak, belakang badan saya seperti terkunci. Saya berusaha keras dengan pakar fisioterapi untuk kembali pulih,” katanya dalam temu bual pada Mac lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI