ALOR SETAR – Dua suspek dipercayai pasangan suami isteri hanya memperoleh kurang RM10 selepas bertindak mencuri duit tabung Masjid A’ala di Kampung Benua, Simpang Empat di sini semalam.
Perbuatan pasangan terbabit kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) masjid tersebut sebelum tersebar di media sosial.
Ahli Jawatankuasa Kariah masjid, Mat Khair Ishak, 69, berkata, pintu pagar serta pintu di semua laluan masuk ke dalam masjid tidak pernah dikunci bagi memudahkan orang ramai untuk memasukinya.
“Orang ramai bebas masuk untuk beribadah atau menggunakan kemudahan seperti tandas kerana lokasi masjid kami terletak di tepi jalan utama Alor Setar-Sungai Petani.
“Namun kekerapan kejadian curi duit tabung menyebabkan pihak pengurusan masjid mengutip semua wang di dalam tabung setiap hari untuk disimpan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian terbaharu tengah hari semalam itu disedarinya selepas mendapati salah satu tabung dialih dari kedudukan asal semasa dia datang untuk membuat persiapan menunaikan solat zuhur. – KOSMO! ONLINE