TRENTON, NEW JERSEY – Seorang banduan wanita di sebuah penjara di negeri New Jersey mendakwa bahawa dia diserang secara seksual oleh banduan transgender yang memiliki alat sulit lelaki, lapor laman berita RT semalam.
Pengadu yang identitinya tidak didedahkan menuduh Jabatan Pemulihan Negeri gagal bertindak bagi melindungi banduan wanita.
Tuntutan undang-undang yang difailkan di sebuah mahkamah akhir bulan lalu itu menyatakan, pengadu tidak dilindungi secukupnya oleh kakitangan penjara di Fasiliti Pemulihan Edna Mahan untuk Wanita.
Tambahnya, populasi penjara itu termasuk banduan transgender yang bertindak agresif secara seksual.
Ujarnya, beberapa aduan telah dibuat mengenai ‘tingkah laku mengganggu transgender’ dengan kebanyakan mereka, memiliki alat sulit lelaki yang berfungsi sepenuhnya.
Pihak penjara bagaimanapun tidak memberikan sebarang ulasan mengenai saman itu.
Banduan transgender itu telah dipindahkan ke penjara lelaki, lapor laman berita tempatan, My Central Jersey. – AGENSI