VENICE, Itali – Venice akan melaksanakan sistem tiket bermula musim bunga tahun depan di mana pelancong wajib membayar €5 (RM25) untuk memasuki bandar bersejarah itu.
Laman berita Wion News melaporkan, langkah tersebut diambil untuk mengurangkan bilangan pelancong yang berpusu-pusu mengunjungi lokasi tersebut.
Langkah itu disokong eksekutif majlis pentadbiran hanya beberapa minggu selepas Venice disarankan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk disenaraikan sebagai tapak warisan dunia yang terancam.
“Tindakan mengawal selia aliran pelancong dalam tempoh tertentu adalah perlu, tetapi tidak bermakna bandar ini akan ditutup. Venice sentiasa dibuka kepada semua orang,” kata Datuk Bandar, Luigi Brugnaro.
Pelan sistem tiket itu sudah lama dirancang tetapi masih memerlukan kelulusan majlis bandar raya yang akan bermesyuarat pada 12 September ini. Selain itu, banyak butiran mengenainya masih tidak jelas seperti jumlah tiket yang akan tersedia.
Antara yang akan dikecualikan membayar tiket ialah pelajar, pekerja, penduduk tempatan, kanak-kanak bawah umur 14 tahun serta pelancong yang tinggal semalaman di Venice. – Agensi