GEORGE TOWN – Fenomena air pasang merah susulan ledakan alga spesis ‘Noctiluca Scintillans’ yang melanda perairan Teluk Bahang sejak 28 Ogos lalu telah menunjukkan trend penurunan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Zarina Zainuddin walaupun bagaimanapun berkata, kandungan oksigen terlarut di perairan berkenaan didapati masih rendah.
“Setakat ini, sebanyak empat siri pensampelan telah diambil dan hasil keputusan ujian makmal mendapati berlaku trend penurunan di kawasan berkenaan.
“Daripada segi visual pula, warna merah didapati sudah tidak ada namun saya dimaklumkan, kandungan oksigen air masih lagi rendah.
“Satu lagi sampel air akan diambil pada Jumaat ini dan kita akan buat perbandingan dan lihat bagaimana keputusannya nanti,” katanya kepada pemberita sempena Program Gotong-Royong Perdana Membersihkan Kawasan Pulau Jerejak di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol dan Pengarah Perkhidmatan Perbandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Othman Abdul Latiff.
Mengulas lanjut, Zarina berkata, masyarakat sedia maklum bahawa alga terbabit bukan toksin malah sumber ikan di perairan ini selamat untuk dimakan.- KOSMO! ONLINE