fbpx

Tingkat integriti, JPJ laksana IBR sebelum jadi penguat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBRAHIM (tiga dari kiri), Mohamad Kifli (tiga dari kanan) dan Mohd. Tarmizi (dua dari kiri) bersama-sama dengan 128 pelatih pada Majlis Tandatangan Sijil & Lafaz Ikrar yang berlangsung di Akademi JPJ, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus komited dalam usaha meningkatkan integriti warga jabatannya daripada gejala rasuah dengan melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di peringkat awal latihan penguat kuasa di Akademi JPJ.

Seramai 128 pelatih Akademi JPJ di Tiang Dua dekat sini telah melafazkan tiga ikrar pada Majlis Tandatangan Sijil & Lafaz Ikrar yang berlangsung hari ini, merangkumi Ikrar IBR, Aku Janji dan Akta Rahsia Rasmi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Ibrahim Mohd. Yusof berkata, pelaksanaan itu merupakan inisiatif yang disediakan kepada warga JPJ untuk menjauhi rasuah seawal sebelum memulakan perkhidmatan sebagai penguat kuasa.

“Lafaz Ikrar IBR ini merupakan yang pertama diadakan di peringkat Kursus Asas dan bakal menjadi jati diri yang kukuh kepada setiap anggota baharu dalam menerapkan sifat membenci dan menolak rasuah sebelum mereka mula bekerja lagi.

“Selain itu, pada tahun ini jua, Pelatih Kursus Asas JPJ akan dibawa melawat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk melihat prosedur serta suasana sekiranya seseorang itu dicekup terlibat dengan rasuah termasuklah lokap,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Tandatangan Sijil & Lafaz Ikrar yang turut disaksikan oleh Pengarah Akademi JPJ, Mohamad Kifli Ma Hasan dan Pengarah Khidmat Pengurusan JPJ, Mohd. Tarmizi Abd. Talib di Tiang Dua, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua pelatih yang terlibat merupakan bakal anggota yang akan memberikan perkhidmatan dalam bidang penguatkuasaan di seluruh negara.

“Pelatih di sini merupakan anggota yang dipilih mengikut tiga kelayakan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Diploma serta Ijazah Sarjana Muda selain Peningkatan Secara Lantikan (PSL) bagi mereka yang telah berkhidmat lebih lima tahun serta lulus ujian yang telah ditetapkan.

“Mereka menjalani kursus asas selama tiga bulan di sini, antara latihan diterapkan adalah Pemahaman serta Penguatkuasaan Akta 333, 334, 715 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan, kursus-kursus amali dari Teknikal Kenderaan sehinggalah Pengurusan Digitalisasi JPJ,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI