KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kembali bergelut selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka China yang berlangsung di Changzhou hari ini.
Pada perlawanan tersebut, bekas juara Asia dan Seluruh England (All England) itu akur apabila tewas kepada pemain Jepun, Kodai Naraoka menerusi aksi tiga set 24-26, 21-11, 11-21 dalam tempoh 1 jam 15 minit.
Zii Jia tanpa berselindung mengakui tidak ada sesuatu yang positif daripada aksi ditampilkan hari ini selain menganggap lawannya itu menampilkan permainan lebih baik dan stabil.
“Prestasi Naraoka konsisten dan kita tahu dia sangat bagus dalam permainan rali dan bertahan. Dia juga kurang melakukan kesilapan mudah, jadi itu menjadikan dia seorang pemain yang lebih baik dan stabil.
“Jika dilihat pada pemain-pemain Jepun yang lain, corak permainan mereka hampir sama, namun apa yang membezakan Naraoka adalah dia lebih stabil dan mampu mengawal gelangaggang dengan baik.
“Sementara itu, saya pula tidak ada yang positif. Apa yang boleh saya lakukan selepas ini adalah untuk terus berusaha dan bekerja keras,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.
Untuk rekod, ini adalah kekalahan kedua Zii Jia kepada pemain No.3 dunia itu dalam tiga pertemuan setakat ini selepas dia turut tewas pada aksi Terbuka Malaysia Januari lalu.
Sementara itu, turut terkandas di pusingan pertama adalah perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei yang tewas 18-21, 12-21 kepada Aya Ohori, juga dari Jepun. – KOSMO! ONLINE