KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mencabar barisan atlet negara agar menampilkan prestasi terbaik pada Sukan Asia Hangzhou, China bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.
Menurutnya, pentas Sukan Asia sepatunya menjadi platform buat atlet-atlet membuktikan keupayaan mereka kerana temasya di Hangzhou itu bakal mencerminkan cabaran yang bakal menanti di Sukan Olimpik Paris 2024.
“Sukan Asia bukan untuk atlet hingusan. Andai Sukan SEA boleh dijadikan alasan mengirim atlet muda, bukan begitu kisahnya di Sukan Asia yang ditandingi gergasi-gergasi Asia.
“Jadi kita mesti ada penanda aras barulah kita boleh mengukur kemajuan atau kemunduran prestasi atlet. Kumpulkan segala pengalaman, himpunkan segenap tenaga dan fokuskan minda bersaing di pentas tertinggi Asia.
“Tidak banyak bezanya antara Olimpik dan Sukan Asia. Ia akan menjadi satu cermin kepada apa akan berlaku di Paris 2024. Jadi saya setuju Sukan Asia sebagai indikasi terbaik di Olimpik Paris nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan watikah pemilihan kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou di AC Hotel by Marriot Kuala Lumpur hari ini.
Dalam masa sama, Norza juga menegaskan, Sukan Asia edisi ke-19 kali ini amat penting buat skuad hoki lelaki negara kerana ia merupakan perjalanan terbaik untuk mendapatkan slot ke Olimpik Paris 2024.
“Berdasarkan undian, peluang ke final cerah dan berusaha mendapatkan pingat emas untuk beraksi ke Sukan Olimpik.
“Jika hoki ke Olimpik, kita akan ada kontinjen lebih besar, sekali gus menerima pengiktirafan lebih baik daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC),” jelasnya.
Sebagai rekod, kontinjen negara bakal dianggotai seramai 289 atlet dan 145 pegawai akan bersaing merebut pingat pada Sukan Asia Hangzhou. – KOSMO! ONLINE